Sejak kebelakangan ini, ramai pereka grafik freelancer dari seluruh Malaysia, mahupun dari syarikat kreatif sendiri, meluahkan dan menceritakan pengalaman mereka berurusan dengan pelanggan masing-masing. Terdapat pelbagai jenis ragam pelanggan yang akan dihadapi oleh pereka grafik, tetapi ia adalah sesuatu yang normal dalam dunia perniagaan.

Meniagakan servis rekabentuk bukanlah satu bidang yang mudah, lagi-lagi saingan diluar sana amat sengit. Walau apa pun yang pereka grafik hadapi atau bakal hadapi, mereka perlulah bersabar. Ini disebabkan, pereka grafik di Malaysia masih tidak dipandang tinggi sehingga kini. Pelanggan diluar sana juga perlulah bertimbang rasa apabila berurusan dengan pereka grafik. Rekabentuk Grafik juga adalah satu perniagaan atau pekerjaan. Mereka mencari rezeki dengan bakat yang mereka ada, mahupun ilmu yang mereka pelajari dari IPT. Artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa tips untuk pereka grafik berurusan dengan pelanggan yang pelbagai ragam diluar sana.


#1. JANGAN TERIMA SEBARANG PROJEK TANPA PERSETUJUAN PELANGGAN

  • Pastikan anda tahu apa yang pelanggan anda mahu dan garis masa projek mereka. Jangan sesekali menerima projek yang masih belum dipersetujui dari pelanggan dan masih ‘tergantung’. Jika anda fikir projek mereka tidak realistik, bincangkan garis masa alternatif atau pelarasan kepada projek mereka. Ia adalah idea yang baik untuk memberikan proses rekabentuk mereka kepada setiap pelanggan anda, termasuk perkara penting di mana anda mengharapkan pembayaran. Ini akan memastikan mereka daripada memanggil anda untuk bertanya tentang langkah seterusnya, dan ia boleh mengelakkan kelewatan pembayaran.

#2. SEDIAKAN PORTFOLIO UNTUK RUJUKAN PELANGGAN

  • Portfolio atau hasil kerja anda adalah sangat penting untuk memberi keyakinan kepada pelanggan mengenai servis anda. Walaupun 1 sahaja contoh hasil kerja anda, ia amat bermakna bagi pelanggan untuk melihat kebolehan anda dalam menghasilkan sesuatu rekabentuk. Jika anda benar-benar seorang pereka grafik, adalah mustahil untuk anda memberi portfolio yang tidak menarik dan tidak berkualiti kepada pelanggan. Pada masa kini, pelbagai platform percuma yang boleh anda gunakan untuk menghasilkan portfolio yang menarik seperti Carbonmade, Behance, Deviantart, Coroflot, Viewbook dan banyak lagi.

#3. DAPATKAN SEMUA MAKLUMAT PROJEK DARI PELANGGAN

  • Segala jenis maklumat untuk sesuatu projek, WAJIB diambil dari pelanggan anda. Ia sangat penting untuk tidak mengganggu kerja-kerja rekabentuk, terutamanya projek besar seperti Penjenamaan dan Pengiklanan. Terdapat 5 jenis maklumat utama yang WAJIB diambil dari pelanggan; Jenis Projek, Konsep Idea, Konsep Warna, Font(Jika ada), Gambar-gambar(Jika ada), dan Tema. Banyak lagi maklumat yang boleh anda ambil tetapi 5 yang kami senaraikan adalah yang utama. Jika pelanggan anda adalah dari golongan yang 0 pengalaman atau blur, anda perlu memainkan peranan penting dengan mencadangkan kepada mereka. Cuba untuk fahami apa yang mereka mahu.

#4. JANGAN TAKUT UNTUK BERTANYA KEPADA PELANGGAN

  • Kebanyakan pereka grafik takut untuk bertanya atau meminta sebarang komen dari pelanggan mereka sendiri. Hal ini tidak akan membantu anda untuk mengeratkan hubungan bersama pelanggan. Pelanggan ibarat ’emas’ bagi pereka grafik, dan kami percaya tiada siapa mahu melepaskan ’emas’ didepan mata sendiri. Buang sifat “mahu siap cepat” atau “harga ini sesuai untuk design seperti ini”. Bertanya selagi boleh, untuk memberi imej professional kepada diri anda sendiri dan kepuasan hati pelanggan itu sendiri. Bertanya juga dapat memudahkan kerja anda dalam menyelesaikan sesuatu projek malah menunjukkan kepantasan anda bekerja.

#5. DEPOSIT DAN BAKI BAYARAN

  • Isu pembayaran seringkali kami dengar dan lihat di laman sosial, mahupun dari kenalan kami sendiri. Setiap pereka grafik WAJIB meminta bayaran deposit tanda setuju pelanggan untuk menggunakan servis anda. Bayaran deposit adalah sangat penting untuk melihat samada pelanggan anda serius atau tidak. Dengan membayar deposit, pelanggan tidak boleh membatalkan projek dengan anda sesuka hati atau secara tidak langsung mereka akan rugi jika membatalkan juga. Jumlah bayaran deposit boleh ditentukan mengikut jenis projek. Kami di GLM telah menetapkan bayaran deposit sebanyak 70% daripada jumlah bayaran (kecuali projek RM10,000 dan keatas). Baki bayaran 30% akan diminta sesudah selesai projek rekabentuk yang diminta.

#6. PERSEMBAHAN REKABENTUK

  • Persembahan Rekabentuk atau Design Presentation dapat menarik perhatian pelanggan untuk repeat order daripada anda. Kebanyakan syarikat agensi atau studio grafik akan menyediakan persembahan yang menarik buat pelanggan mereka. Ia bukan bermaksud freelancer tidak perlu buat sebegitu tetapi lebih menggalakkan mereka untuk sama-sama buat. Tiada istilah “saya bekerja dari rumah sahaja, tidak perlu formal sangat” atau “saya design untuk tambah pendapatan sahaja”. Persembahan Rekabentuk boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang bergelar pereka grafik. Ia juga lebih memberi imej positif dan professional seseorang atau sesebuah syarikat. Akan tetapi, sekiranya projek itu urgent, tidak digalakkan untuk membuat persembahan rekebentuk.

Tips-tips diatas adalah dari pengalaman kami sendiri. Sekiranya anda mempunyai sebarang penambahan, boleh lampirkan pada ruang komen dibawah. Selamat maju jaya!



2 Comments

Zoll · August 24, 2017 at 7:05 am

Nak tanya, jika saya melantik seorang managar dalam satu projek (contoh melibatkan projek design berharga RM 15 k) utk menguruskannya dan saya pula design, bagaimana pembahagian pendapatan? Adakah 50% – 50% ?

    Admin · August 24, 2017 at 7:22 pm

    SALAH sama sekali! Sebutharga yang diberikan kepada pelanggan anda adalah harga sesuatu projek iaitu ianya milik akaun syarikat. Jadi, sebelum anda melantik Project Manager atau Team Members, anda juga perlu menyatakan gaji untuk setiap daripada mereka didalam kertas kerja projek/pelantikan mereka. Bukan dibahagikan dari sebutharga projek.
    Contoh: Project Manager = RM5k, Team Members = RM2.5k/seorang (2 orang) = RM5k/2 orang. Jadi, RM15k(Jumlah harga projek) – RM5k(Gaji Project Manager) – RM5k(Gaji Team Members) = RM5k(Akaun sayrikat). Harap membantu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.